KOTA KINABALU: Sabah bersedia menjadi hab kemajuan teknologi, dengan inovasi digalakkan dan dipupuk secara aktif, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, dalam dunia yang berkembang pesat hari ini, integrasi teknologi dan inovasi amat penting dalam pembangunan ekonomi.
Beliau berkata, kerajaan berhasrat untuk mencipta ekosistem yang menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menggalakkan transformasi digital, dan memupuk budaya inovasi di negeri Sabah.
“Komitmen kerajaan negeri terhadap pertumbuhan ekonomi tidak berbelah bahagi dan turut melaksanakan dasar pintu terbuka kepada pelabur, selain meneroka sumber- sumber ekonomi baharu termasuk Ekonomi Biru yang bakal membawa dimensi baharu ekonomi Sabah, berpaksi hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ)”.
“Fokus kita masa ini ialah mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perkembangan perniagaan, menarik pelaburan dalam dan luar negeri, serta memastikan tenaga kerja kita dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi permintaan masa depan”, katanya pada majlis perasmian “MTDC Road to Growth (R2G) 2024-Sabah di Sabah International Covention Centre (SICC) pada Selasa.
Hajiji berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) telah dikenalpasti menjadi salah satu pemangkin penting yang memacu pembangunan sosioekonomi.
Justeru katanya, Pelan Strategik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (2022- 2025) telah digubal sebagai panduan dalam pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasa ekosistem Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di Sabah. Selain itu katanya, Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) akan meneruskan pelbagai program bagi memastikan bakat modal insan di Sabah terus digilap termasuk memacu industri animasi negeri sebagai Pusat Latihan Berlesen Toon Boom pertama di Malaysia.
“SCENIC telah dinobatkan Anugerah Khas “The Most Impactful Public Agency in Driving Digital Adoption” di Top Tech Innovation Award 2022 yang disokong oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)”.
“Justeru, saya berharap program “Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Road to Growth (R2G) 2024-Sabah dapat membantu melahirkan lebih ramai penyelidik dan usahawan yang berinovasi”, tegasnya.
Hajiji berkata, bulan Mac lalu beliau menekankan keperluan bagi Sabah untuk mengenal pasti dan menerokai sumber ekonomi baharu memandangkan kemakmuran masa depan negeri bergantung pada keupayaan untuk berinovasi dan menyesuaikan diri dengan landskap ekonomi yang sentiasa berubah.
Katanya, “MTDC Road to Growth (R2G) 2024 -Sabah” adalah tindak balas langsung kepada seruan tindakan tersebut yang memperlihatkan komitmen kita untuk mencari dan memupuk jalan baru bagi pertumbuhan ekonomi negeri Sabah.
“SEDIA telah mengambil tindakan yang amat pantas dan agresif bagi memacu pembangunan ekonomi negeri kita. Dedikasi mereka untuk mengubah Sabah menjadi sebuah negeri yang dinamik dan makmur serta seiringan dengan kemajuan teknologi, akan terus disokong”, tambahnya.
Beliau berkata, Kerajaan negeri menyambut baik inisiatif MOSTI yang memperkenalkan Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI), inisiatif yang akan memberi manfaat kepada usahawan, pihak universiti, institusi penyelidikan serta kerajaan dalam memanfaatkan produk-produk inovasi dan R&D tempatan.
Hajiji berkata, inisiatif itu juga akan merangsang pertumbuhan industri tempatan khususnya di Sabah dalam bidang teknologi yang merupakan antara sumber ekonomi baharu yang telah dikenalpasti.
“Saya mahu semua peluang ini diambil dan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pihak universiti, institusi penyelidikan dan usahawan di negeri ini untuk mendaftar dan mendapat penandaan logo MySTI”, katanya.
Beliau juga berharap menerusi program “MTDC Road to Growth (R2G) 2024 Sabah dapat memberdayakan tenaga kerja tempatan dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi berasaskan teknologi serta memacu inovasi yang menggalakkan penerimaan teknologi canggih dan solusi inovatif untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing dalam pelbagai industri di Sabah.